Wednesday, April 21, 2010

KOLAM AIR PANAS SUNGAI KLAH,SUNGKAI.


Kolam air panas dibangunkan sebagai taman rekreasi bertaraf dunia. Dikelilingi pemandangan bukit bukau, ia memanfaatkan sepenuhnya sumber alam iaitu aliran air panas dari perut bumi dan air sejuk dari banjaran gunung berdekatan meneroka aliran air panas dengan melalui laluan pejalan kaki. Di beberapa wakaf yang dibina betul-betul di aliran air panas ini, suasana sauna semula jadi mula dirasai.

Sambil itu, mata tidak lepas memandang tanaman herba dan pokok buah-buahan tempatan yang dilabelkan seperti tongkat ali, kedondong, lengkuas dan dukung anak. Di antaranya, raja buah iaitu durian turut ditanam selain kebun kelapa sawit asal yang masih dikekalkan.

Kolam air panas utama dibangunkan sebagai lembah sungai dikelilingi taman dan pancuran air buatan manusia. Selain kolam utama, ada beberapa kolam khusus untuk rawatan terapeutik. Suhu dikawal antara 30 hingga 43 darjah celcius.

Ada beberapa kolam dilengkapi papan tanda memberi amaran suhu panas antara 100 dan 102 darjah celcius. Pengunjung perlu berhati-hati kerana ia adalah punca air panas. Untuk mereka yang mahukan privasi, boleh menggunakan lima jakuzi panas dengan kadar sewa antara RM25 dan RM50 sejam.

Perkhidmatan mengurut disediakan pada hujung minggu dan cuti umum dengan bayaran antara RM20 dan RM45.

No comments:

Post a Comment