Thursday, April 8, 2010

Muzium Beruas








Sejarah Ringkas

Pusat kerajaan yang paling awal diketahui di negeri Perak ini terletak di kawasan meliputi Beruas dan Dinding (Manjung hari ini). Kerajaan awal ini dikenali sebagai Gangga Negara. Terdapat berbagai versi tradisi lisan tentang asal-usul kerajaan ini. Ada tradisi lisan yang menyebut bahawa pengasas Kerajaan Gangga Negara ialah Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah. Ada juga cerita yang menyatakan bahawa kerajaan tersebut telah dibuka oleh Raja Khmers dari Kemboja. Walau bagaimanapun, berdasarkan penemuan arca-arca Buddha, menunjukkan di abad ke- 5 dan ke-6 M wujud Kerajaan Gangga Negara ini. Kerajaan Gangga Negara telah berpusat di Beruas.

Ada juga berpendapat menyatakan bahawa Kerajaan Gangga Negara wujud tidak lewat dari abad ke-2 Masehi. Kerajaan Gangga Negara ini dipercayai terletak di daerah Dinding (Manjung) di kawasan Selatan Gunung Bubu, arah Timur Bukit Segari di tepi Sungai Dendang. Pendapat ini juga menyebut kemungkinan pusat Kerajaan Gangga Negara berubah-ubah. Dengan menggunakan jumpaan artifak-artifak purba dan pengaliran cabang Sungai Perak dipercayai pernah berpusat di Pengkalan (Ipoh), Lembah Kinta, Tanjung Rambutan, Bidor dan Sungai Siput telah dikatakan sebahagian dari jajahan Kerajaan Gangga Negara.

Kewujudan Kerajaan Gangga Negara dan kemudiannya Kerajaan Melayu Beruas tidak dapat dinafikan oleh penyelidik sejarah pada hari ini. Kedua-dua kerajaan tua yang dikatakan pernah bertapak di bumi Beruas bukanlah suatu dongengan ataupun mitos semata-mata. Ini berikutan beberapa peninggalan kesan sejarah mengenainya yang masih wujud di beberapa kawasan negeri Perak terutamanya di Beruas.

Di Beruas beberapa penemuan artifak yang ada hubungan dan kaitan dengan peninggalan kerajaan tua itu telah ditemui sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bahan Pameran


Sebanyak 300 artifak sejarah zaman Kerajaan Gangga Negara dan Raja Beruas ditemui hasil daripada penelitian dan carigali sejarah tahun 1991 dimana hanya 157 artifak sahaja dipamerkan di Muzium Beruas.

Sejarah Bangunan


Pada 25 November hingga 25 Disember 1991, satu projek penelitian sejarah Beruas telah dijalankan dan diusahakan oleh sekumpulan penyelidik dari Muzium Negara, Kerajaan Negeri Perak dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hasil dari projek penelitian ini beberapa artifak-artifak sejarah telah ditemui dan disimpan oleh Muzium Negara. Pihak Jabatan Muzium merasakan hasil penemuan tersebut perlu ditempatkan di sebuah Muzium sementara kajian-kajian seterusnya dibuat dari semasa ke semasa.

Hasil dari cadangan tersebut Muzium Beruas ditubuhkan di Bangunan Mahkamah lama (sebelumnya Pejabat KEMAS kawasan Beruas). Kerja-kerja pemuliharaan bangunan ini yang dibiayai oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia melalui Jabatan Muzium dan Antikuiti menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia ke-6 dan siap dijalankan pada awal tahun 1995.

Pada 23 Mei 1995, Muzium Beruas dengan rasminya diserahkan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Muzium Negara kepada Y.B Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Muzium Beruas telah dirasmikan oleh Y.A.B Menteri Besar Perak Darul Ridzuan Ke-6 Tan Sri Dato' Seri DiRaja Ramli Bin Ngah Talib ketika itu dan dibuka kepada orang ramai pada Julai 1995.


No comments:

Post a Comment